Monday, October 12, 2009

SEJARAH SK ASSAM JAWA

Sekolah Kebangsaan Assam Jawa (SKAJ) mula ditubuhkan pada tahun 24 Oktober 1892 dan merupakan antara sekolah tertua di daerah Kuala Selangor. Pada awal penubuhannya, SKAJ hanyalah merupakan sebuah bangunan yang amat sederhana sturktur binaannya. Bangunan tersebut berangka dan berdindingkan kayu serta beratap nipah menurut maklumat yang dipetik dari Arkib Negara.

Pembinaan bangunan sulung SK Assam Jawa ialah di kawasan tanah perkuburan Kariah Assam Jawa sekarang,yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Kuala Selangor. Ia siap dibina pada bulan Disember 1892. Sebuah rumah guru juga turut dibina beriringan dengan pembinaan tersebut. Kesan-kesan peninggalan bangunan sulung itu dapat disaksikan oleh pengunjung-pengunjung yang menziarahi pusara sanak saudara di kawasan berkenaan. Menurut maklumat yang dipetik daripada Cikgu (bersara) Mohd Arif bin Ibrahim, salah seorang bekas murid dan pernah berkhidmat sebagai guru di SKAJ dari tahun 1937 hingga 1949, tapak bangunan SKAJ berpindah ke kawasan sekarang pada tahun 1924, apabila tapak awalnya telah ditawarkan oleh kerajaan British sebagai Tanah Perkuburan Islam penduduk Kampung Assam Jawa. Nama sekolah ini diambil sempena Kampung Assam Jawa. Manakala nama kampung ini pula berasal daripada pohon Asam Jawa yang banyak tumbuh di kawasan persekitaran pada awal penerokaan kampung ini….